Jan 24, 2010

Hess's Law


Hess's Law stated that "If a reaction is carried out in a series of steps, the enthalpy change for the overall reaction will be equal to the sum of the enthalpy changes for the individual steps."

Because the the enthalpy change is an independent of path, and depends only on the initial state of the reactants and the final state of the products.

Hah...apahal pulak ni cakap pasal 'law' yang pelik ni???...for info inilah ilmu dunia yang saya dapat semasa sesi kuliah kimia bersama Cik Hjh Norhayati bt Sidek. Ternyata pada awalnya kuliah yang membuatkan saya hampir pecah kepala untuk memahaminya menjadi sesuatu yang menarik untuk diulas apabila saya melihatnya dari sudut yang berbeza

First, biar saya translate sikit apa yang dinyatakan dalam hess's law di atas: Ia menerangkan tentang sesuatu tindak balas kimia jika mengalami beberapa siri tindak balas yang berlainan tetapi kesemuanya menghasilkan produk atau hasil tindak balas yang sama, perubahan enthalpy atau haba yang diserap atau dibebaskan semasa tindak balas adalah sama dengan nilai haba yang diserap atau dibebaskan oleh setiap siri tindak balas yang terlibat. Wah...susah betul nak translate ni....mudahnya, sesuatu tindak balas tersebut tidak bergantung kepada apa yang dilaluinya tetapi hasilnya lebih diutamakan. Maka laluan untuk mencapai hasil tersebut boleh berbeza-beza tetapi mencapai matlamat yang satu.

Contohnya, matlamat kita ialah untuk dapat semua A dalam peperiksaan, berpandukan konsep yang dibawa oleh hess's law, cara atau usaha kita untuk mencapai semua A dalam peperiksaan itu tidak begitu penting tetapi yang paling penting ialah hasilnya kita dapat semua A. Maksudnya di sini, kita boleh menggandakan usaha kita, pergi kelas tuisyen dan banyakkan latihan atau kita juga boleh meniru dan menggunakan kabel agar kita memperoleh semua A dalam peperiksaan jika kita menggunakan konsep hess's law ini.

Boleh ke camtu???
Dalam Islam "Matlamat tidak menghalalkan cara" maka secara terang-terangan konsep yang saya rungkai daripada hess's law ini bercanggah dengan Islam apabila ia digunakan dalam cara yang salah. Sebab itu Allah menciptakan dunia ini dengan hukum...sebagai benteng dan panduan kepada manusia dalam mentadbir dunia ini. Maka kita diberi pilihan oleh Allah untuk memilih pilihan atau cara yang baik sahaja untuk mencapai matlamat yang baik barulah Allah redha dengan kita.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208 yg bermaksud:

"Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata."

Samalah juga dalam dunia dakwah, matlamat dakwah ialah untuk menyampaikan ajaran Islam yang sebenar-benarnya sepertimana yang disampaikan oleh Rasulullah dan dituntut oleh Allah dalam al-Quran dan al-hadis. Matlamat utama semestinya untuk mencapai redha Allah yang sudah semestinya tiket ekspress ke syurga.

Maka, jika cara berdakwah kita bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam al-quran dan al-hadis, adakan Allah redah dengan cara kita itu.

Seorang ustaz pernah berkata kepada saya "tidak semestinya Allah izin Allah redha, dan tidak semestinya Allah tidak izin, Allah tidak redha"

Contohnya, kisah-kisah Nabi Allah yang diseksa dan dibunuh oleh kaum mereka sendiri seperti Nabi Salleh a.s dan Nabi Isa a.s, Allah tidak izinkan mereka dibunuh tetapi Allah redha dengan mereka kerana dakwah dan ajaran Islam yang dibawa mereka adalah sperti yang Allah perintahnkan

Manakala, kisah-kisah musuh Islam seperti Firaun dan Abu Jahal yang dikurniakan Allah kedudukan dan harta yang banyak, Allah izinkan mereka mendapatkan semua itu tapi Allah tidak redha dengan mereka kerana mereka menentang Islam.

Mahasiswa Islam perlu bijak mengatur strategi dakwah dan perlu berpandukan al-Quran dan as-Sunnah

Berdasarkan Hess's Law juga saya teringat akan kata-kata As-Syahid Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin, sebuah gerakan Islam di Mesir:
"Kita bukan pemula, dan kita bukan pengakhir kepada perjuangan ini, tetapi kita adalah mata-mata rantai perjuangan Rasulullah S.A.W"

Ini menunjukkan bahawa bila dan siapa yang membawa kemenangan yang perlu dirisaukan dan diharapkan kerana semua itu adalah ketentuan Allah (kun fa ya kun) tetapi yang paling penting ialah apakah peranan kita untuk memenangkan Islam. Mudahnya cara dan tindakan kita sekarang ini adalah yang utama. InsyaAllah kesatuan usaha (sum of the enthalpy changes) akan membawa kemenangan kepada Islam (will lead to the overall reaction).

Syukran Cik Yati (kanan, dua ke belakang) kerana memberikan ilmu yang berguna semasa kuliah kimia


Jan 10, 2010

Selamat Tinggal Lujnah TTK

بسم الله الرحمن الرحىم

Alhamdulillah, masih lagi Allah beri kesempatan untuk berupaya menulis di laman blog ini. Ternyata permulaan semester yang hebat dan semakin mencabar. Apa taknya semester ini saya terpaksa mengambil dua subjek 'content' iaitu Chemistry dan Physics dan ruang likup silibusnya pulak boleh tahanlah susah. Ditambah pula dengan praktikum yang akan saya hadapi pada bulan Mac nanti. Biasalah, sesuai dengan pengajian tahun ketiga saya di IPG yang hanya tinggal setahun lagi sebelum grad.

Dalam kesibukan akademik, saya terpaksa mengorbankan antara perkara yang penting dalam hidup saya iaitu melepaskan jawatan Ketua Lujnah Tugas-Tugas Khas Biro Agama dan Kerohanian JPP. Terasa berat, sedih dan takut sebenarnya bila saya tekad membuat keputusan ini. Kenapa nak 'quit'? Adakah istilah 'quit' atau berehat dalam jalan dakwah ini?

Bukan...
Tapi keputusan ini dibuat setelah saya mengkaji terlebih dahulu baik dan buruknya dan selepas saya berbincang dengan kawan-kawan dalam Biro. Memang tak dinafikan setiap benda ada masalahnya, setiap taklifat (tanggungjawab) ada bebanannya. Tetapi mana anda akan pilih sekiranya saya melepaskan jawatan dan membubar Lujnah TTK lebih baik daripada saya meneruskan gerak kerja Lujnah TTK. Namun ini bukan bermakna saya terus 'quit' Biro tetapi sebenarnya ia merupakan penstrukturan semula supaya gerak kerja Biro akan lebih mantap di masa hadapan. Saya sangat bersetuju dengan cadangan AMT Biro dengan meletakkan saya di bawah lujnah 3P dan menukarkan Lujnah TTK kepada Lujnah Riadah dan Rekreasi.

Ini antara sebab kenapa Lujnah TTK tidak relevan diteruskan sekarang ini:

1. Skop tugasan yang terlalu mencapah dan tidak berfokus. Kesannya, ahli sukar untuk menfokuskan gerak kerja kepada satu tugasan yang utama.

2. Lujnah yang baru dan ahli masih tidak faham akan skop tugasan. Pendak kata, ahli tidak tahu macam mana nak bergerak.

3. Portfolio Lujnah TTK tidak memenuhi bakat atau kepakaran ahli kerana terlalu luas skop tugasan dan tugasan yang berbeza. Contoh blog dan kebajikan.

4. Tugasan Lujnah lebih berfokus kepada pengurusan blog.

4. Kebanyakan ahli terdiri daripada daripada unit yang mengambil jurusan Pendidikan Jasmani

Melihat kepada yang disenaraikan, semuanya berbalik kepada kepimpinan. Jika baik kepimpinan maka baiklah orang yang dipimpin (pendapat saya). Maka terdapat juga sebab-sebab ini berbalik kepada saya, saya akui yang merupakan hamba yang daif.

Daripada Ibn Umar r.a., Rasulullah s.a.w bersabda, Tiap seorang daripada kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpin.

(Riwayat Muslim)


Walaupun terpaksa membubarkan Lujnah TTK namun setelah secara syura oleh peringkat AMT Biro Agama dan Kerohanian JPP, melihat kepada pro dan kontranya, semua sepakat agar Lujnah TTK ditukarkan kepada Lujnah Riadah dan Rekreasi (R&R).

MasyaAllah hebat betul kekuasaan Allah...
Semuanya berjalan dengan lancar dengan secara syura Mohd Farhan Jamaludin (adik usrah) dilantik sebagai Ketua Lujnah dan mantan Penolong Ketua Lujnah TTK, Nor Suhana telah dilantik sebagai penolong Ketua Lujnah Riadah dan Rekreasi.

Pengwujudan Lujnah Riadah dan Rekreasi merupakan satu nafas baru dalam dunia dakwan IPG Kampus Ipoh dalam usaha merealisasikan Islam yang syumul. Ini juga suatu langkah dalam menjadikan Biro lebih tersusun dan sistematik dalam mendokong beban dakwah dan mentarbiah pelatih-pelatih IPG Ipoh.

100 % sokongan daripada saya dan semoga bekas-bekas ahli Lujnah Tugas-Tugas Khas yang akan menerajui Lujnah Riadah dan Rekreasi kelak akan lebih laju dan istiqamah dalam menyampaikan syiar Islam dalam arena sukan dan rekreasi. Buktikan bahawa Islam ada caranya dalam bersukan dan berkokurikulum. InsyaAllah usaha antum semua akan diberkati Allah.

Di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf jika selama menjadi Ketua Lujnah TTK pernah melakukan kesalahan sehingga antum semua tersinggung dan terasa hati. Semoga Allah ampunkan kita dan menghitung amalan baik yang kita lakukan sepanjang bersama-bersama menggerakkan Lujnah TTK.

Bagi diri saya, InsyaAllah akan melaksanakan yang terbaik pula di Lujnah 3P (Penerbitan, Publisiti dan Penerangan). Tidak kira pada lapangan apa sekalipun kita berada yang penting kita sedia berkhidamat dengan ikhlas untuk Islam. Semoga Biro Agama dan Kerohanian JPP IPG Kampus Ipoh akan lebih mantap dengan penstrukturan ini dalam melahirkan biah solehah di kampus Ipoh. Takbir!!!!

Dalam kenagan Mesyuarat Lujnah TTK...saat mengatur gerak kerja demi Islam tercinta



Lawatan Penanda Aras Biro Agama dan Kerohanian JPP IPG Ipoh ke IPG Pantai Timur anjuran Lujnah Tugas-Tugas Khas




Bangga dapat bekerja bersama-sama dengan ahli lujnah yang cukup istiqamah daripada mula Lujnah TTK ditubuhkan sehinggalah ia telah dibubarkan. Semoga Allah juga bangga dengan antum semua! Amin


Teruskan Perjuangan demi Islam Tercinta!!!

Jan 3, 2010

Resepi Cinta Ibnu Athaillah


Tulisan Ibnu Athaillah tentang cinta sangat dasyat. Terutama dalam menjadi terapi kepada penyakit cinta. Kerana "cinta" sejati itu menyembuhkan bukan menyakitkan.

Namun siapa Ibnu Athaillah Askandari ini?

Beliau adalah seorang sufi yang mempunyai nama lengkap Ahmad bin Muhammad bin Abdul Kari bin Athaillah. Sedangkan nama Askandari dibelakang namanya adalah nama julukan kerana beliau tokoh sufi yang berasal dari Iskandariyah.

Beliau dilahirkan di Iskandariyah pada tahun 658 H. dan dibesarkan di lingkungan keluarga yang taat beragama.

Dengan dimilikinya dasar-dasar ilmu agama tersebut, membuat dirinya terlalu meminati terhadap ilmu yang pernah dipelajari tersebut dan menolak terhadap ilmu tasawuf, beliau terlalu meminati ilmu fiqh. Tetapi setelah beliau mengamalkan ilmu yang pernah dipelajari dan banyak bergaul dengan para ulama dan tokoh-tokoh sufi, akhirnya beliau mulai tertarik kepada ajaran tasawuf dan sekaligus mempelajarinya.

Ajaran tasawuf yang tertanam pada diri Ibnu Athaillah banyak diperoleh setelah beliau mengamalkan ilmu agama yang dimilikinya, dengan seringnya bertemu dengan para sufi yang pada akhirnya dapat merubah pola hidupnya dan mengikuti kehidupan para sufi, diantara guru-gurunya adalah Syekh Abul Abbas al Marsi, Nadruddin al Munir, Syarafuddin al Dimyati, Al Muhyil al Mazani, Syamsuddin al Asfaham.

Setelah beliau mempunyai dasar agama yang kuat dan sudah memperoleh ajaran tasawuf dari para gurunya tersebut, kemudian beliau pindah ke Cairo Mesir dan mengajar tasawuf-tasawuf kepada murid-muridnya di Universitas Al Azhar dan diantara murid-muridnya ada yang menjadi ulama terkenal seperti Imam Taqiyyuddin al Subki, Abu Abbas Ahmad bin Malik dan Daud bin Bahla.

Selama hidupnya ada beberapa karya tulis yang di hasilkan oleh Ibnu Athaillah, antara lain :

1.Al Hikam, karya ini adalah yang paling terkenal yang pernah ditulis oleh Ibnu Athaillah, karena kitab itu pernah diterjemahkan kedalam berbagai bahasa antara lain Turki, Spanyol, Inggris, Melayu, Urdu, dan juga pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Di samping kitab tersebut diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa, kitab tersebut juga ditulis dengan bahasa yang amat sederhana dan memuat 42 buah kalimat yang mengandung hikmah sufi.

2.Al Tanwir Filsafat al Tadbir, kitab ini pernah dicetak beberpa kali, karena kitab ini member petunjuk-petunjuk kepada mereka yang ingin selalu bersama Allah dan hal-hal yang mengganggu.

3.Lathaif al Mina Fi Manakhibal al Syekh Abi al Abbas al Marsi wa Salkhlii al Sazali, kitab ini menguraikan tentang sejarah, asal-usul para pemimpin dan ajaran-ajaran tarekat Sazaliyah yaitu Syekh Abul Abbas al Marsi dan Abu Hasan al Sazali.

4.Tajul Arus al Hawi Litahzibin Nufus, kitab ini menguraikan berbagai ajaran dan penjelasan yang berkenaan dengan kehidupan sufi.

5.Al Qasdul Mujarrad Fi Ma’rifat al Ism al Mufrad, kitab ini menguraikan tentang Tuhan, sifat, asma, af’alnya dan cara pencapaian ma’rifat.

6.Miftahul Falah Wa Misbahul Arwah, kitab ini menguraikan pokok-pokok ajaran tentang riyadhah dan mujahadah dalam dzikir, uzlah, khalwat dan sebagainya.

Beliau meninggal dunia di Cairo Mesir pada tahun 709 H dan dimakamkan di kaki bukit Mukattam.



Resepi Cinta Ibnu Athaillah Dalam Mengubat Penyakit Cinta

"Tidak ada yang dapat mengusir syahwat atau kecintaan pada kesenangan dunia selain rasa takut kepada Allah yang menggetarkan hati, atau rasa rindu kepada Allah yang membuat hati merana!"

Kecintaan kepada seseorang itu syahwat dan perasaan tersebut tidak boleh dikeluarkan melainkan jika melakukan dua perkara ini:

Pertama, rasa cinta kepada Allah yang sangat luar biasa yang menggetarkan hati. Sehingga yang ada di hati adalah Allah, yang lain dengan sendirinya menjadi kecil dan terusir.

Kedua, rasa rindu kepada Allah yang amat dasyat sehingga hati terasa merana. Jika hati merana merindu Allah, nescaya hati tidak mungkin merana merindu kepada yang lain. Jika sibuk memikirkan Allah, nescaya kita tidak akan sibuk memikirkan yang lain.



Kerana hati kita miskin dalam mencintai dan merindui Allah, maka kita dijajah oleh cinta dan rindu pada yang lain.

Mencintai makhluk itu sangat berpeluang menemui kehilangan. Kebersamaan dengan makhluk juga berpeluang mengalami perpisahan. Hanya cinta kepada Allah sahaja yang tidak.

Jika kita mencintai seseorang akan ada dua kemungkinan ditolak atau diterima. Jika ditolak pasti sakit rasanya. Namun jika kita mencintai Allah kita pasti diterima. Kita tidak akan pernah merasai kehilangan jika kita mencintai Allah. Tidak akan ada yang merebut Allah yang kau cintai itu dari hatimu. Tidak akan ada yang merampas Allah. Jika kita hidup bersama Allah, kita tidak akan pernah berpisah denganNya. Allah tidak akan berpisah dengan kita. Kecuali kita sendiri yang berpisah dariNya.

Cinta yang paling membahagiakan ialah cinta kepada Allah Azza wa Jalla.


P/S: Jadi jom kita semak diri kita samada kita mencintai sesorang itu lebih daripada kita cinta kepada Allah atau tidak???

Jan 2, 2010

Pentingnya Wala' (Taat) Kepada Pimpinan Dalam Soal Dasar dan Prinsip


Alahmdulillah sedikit pengisian yang ana perolehi daripada seoarang murrabbi berkenaan dengan kepentingan taat kepada pemimpin atau ketua dalam soal dasar dan prinsip. Namun harus ditekankan di sini bahawa taat yang dimaksudkan ialah dalam perkara-perkara yang tidak melibatkan dosa dan tidak bertentangan dengan agama. Sepertimana firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

(An-Nisa' 59)

Para sahabat begitu taat dengan Rasulullah sehingga mana dalam suatu peristiwa di mana Rasulullah telah mengeluarkan arahan bahawa mereka akan pergi berperang tanpa dinyatakan dengan teliti peperangan tersebut namun para sahabat tanpa membantah menuruti arahan Rasulullah sehinggalah di pertengahan jalan barulah mereka mengetahui dengan siapa mereka berperang.

Dalam persatuan atau jemaah, kepimpinan sangat penting sehinggakan Saidina Umar Al Khatab r.a pernah berkata “Tiada Islam Tanpa Jemaah, Tiada Jemaah tanpa Kepimpinan Dan Tiada Kepimpinan Tanpa Keta'atan"

Penting untuk setiap ahli dalam sesebuah persatuan mentaati setiap keputusan yang telah diputuskan secara bersama semasa mesyuarat. Maksudnya seharusnya tiada lagi mesyuarat selepas mesyuarat atau dengan kata lain perbincangan yang cuba menyangkal dan menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan mesyuarat.

Ini terbukti dalam sirah nabawi semasa dalam perang Ahzab yang merupakan perang paling memeritkan dalam sejarah Islam. Masyarakat muslimin ketika itu telah mengadakan mesyuarat bersama Rasulullah S.A.W bagi membicangkan strategi memerangi orang-orang kafir. Dalam mesyuarat itu Rasulullah telah mencadangkan satu cadangan tetapi cadangan tersebut kurang dipersetujui oleh Salman al-Farisi dan mencadangkan orang-orang Islam menggali parit bagi mengurangkan serangan daripada orang-orang kafir yang sangat ramai jika dibandingkan dengan orang-orang Islam ketika itu. Cadangan ini diterima oleh Rasulullah s.a.w lalu tentera Islam termasuk nabi sendiri bekerjasama menggali parit tersebut dengan bersungguh walau pun cuaca sejuk dan kekurangan bekalan makanan agar ia dapat disiapkan sebelum ketibaan musuh.

Baginda telah bersama-sama menggali,mengangkut dan membuang tanah serta memecah batu-batu. Semasa kerja memecahkan batu dijalankan, seorang sahabat menemui Rasulullah dan memberitahu baginda bahawa mereka tidak berupaya lagi memecahkan sebiji batu yang besar setelah banyak kali mencuba. Rasulullah pergi kepada batu tersebut dan berkata " Wahai batu, kamu jangan menjadi penghalang kepada kemenangan Islam!". Nabi Muhammad diberi mukjizad oleh Allah. Baginda telah memecahkan batu keras yang tidak dapat dipecahkan oleh orang muslimin. Nabi Muhammad memecahkan batu itu dengan tiga pukulan sahaja.Semasa kerja menggali parit dijalankan, kaum muslimin sentiasa berada dalam kelaparan kerana kekurangan makanan. Nabi Muhammad dan orang muslimin telah mengikat perut mereka dengan ketulan batu untuk menahan lapar. Seorang sahabat telah terlihat batu yang diikat pada perut Rasulullah dan terus meluru pulang dan menuyuruh isterinya memasakkan seekor kambing untuk diberi makan kepada Rasulullah (betapa hebatnya kasihnya terhadap Rasulullah yang merupakan pemimpinnya). Namun Rasulullah telah menjemput semua kaum muslimin yang sedang menggali parit ketika itu untuk turut sama makan sehinggan sahabat tersebut berasa takut kerana dikhuatiri makanan tidak mencukupi. Tetapi Allah telah memberi mukjizat kepada Nabi Muhammad yaitu seekor kambing dan sedikit gandum telah dapat mengenyangkan kaum Muhajirin dan Ansar. Bahagian makanan itu tidak berkurangan pun.

Betapa hebatnya pengajaran daripada kisah di sebalik perang Ahzab dalam konteks ketaatan kepada kepimpinan.
Related Posts with Thumbnails

Komentar