Alhamdulillah hari ini sudah 6 hari Ramadhan menjelma dan bagaimana agaknya amalan kita setakat ini?
Semoleknya, apabila kita telah mengurangkan aktiviti makan dan minum, masa sehari-hari sepatutnya lebih banyak untuk kita manfaatkan beribadat kepadaNya kerana pahala dan ganjaran yang berlipat ganda hanya boleh didapati bulan ini sahaja berbanding bulan lain.
Sekadar perkongsian...
Roja'
Bercakap adalah benda yang asasi buat manusia yang dikurniakan mulut oleh Allah Taala. Bercakap juga adalah komunikasi yang paling berkesan dalam menyampaikan sesuatu. Namun di bulan Ramadhan ini, kita digalakkan untuk suku' atau duduk diam sementara dengan tidak bercakap.
Diam di sini ialah roja' menurut kitab yang dikarang oleh Ibnul Qoyyim, roja' ialah mengharapkan dan biasanya roja' ini digandingkan dengan satu lagi perbuatan iaitu khauf iaitu merasa takut.
Roja' dengan suku' (duduk diam) didefinisikan oleh para ulama; sebagai mengharapkan sesuatu yang memberi manfaat kepada seseorang tetapi belum pasti dengan syarat didahulukan dengan amalan yang pasti. Contoh sesuatu yang belum pasti dan bermanfaat ialah mengharapkan redha Allah dan masuk ke Syurga Allah.
Analogi kepada perkara ini ialah seperti orang yang bercucuk tanam. Seseorang yang mengusahakan tanaman akan menggembur tanah, kemudian membaja, menyemai dan menyiram tanamannya (amalan yang pasti). Selepas itu, orang itu akan berharap kepada Allah agar dikurniakan buah hasil daripada tanamannya. (sesuatu yang belum pasti dan bermanfaat)
Begitu juga amalan sehari-harian kita, sedakah, solat dan apa jua perbuatan baik yang kita lakukan kerana Allah adalah amalan yang pasti. Kita digalakkan roja' iaitu duduk dan berharap kepada Allah agar amalan-amalan yang kita lakukan ikhlas keranaNya akan mendapat rahmat, syurga dan redhaNya.
Firman Allah dalam surah al Baqarah 218 yang bermaksud
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah”
Oleh yang demikian, di bulan mulia ini kurangkanlah perbualan yang tidak berfaedah sebaliknya banyakkan suku' dan roja', berharap kepadaNya agar setiap amalan yang kita lakukan diberkati dan diterimaNya. Kerana bulan Ramadhanlah peluang keemasan untuk berbuat demikian berbanding bulan lain di mana kita mempunyai banyak kelapangan masa
::Ayuh tingkatkan amalan Ramadhan ini::
(Dipetik daripada tazkirah zuhur Masjid Wilayah)