Jun 14, 2010

Ape nak jadi???

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Baru-baru ini, saya telah dikejutkan dengan pengakuan seorang kawan dari laman sosial (so sial) Facebook tentang 'religious view'nya...kalau ramai antara kawan-kawan saya sebelum ni semuanya 'state' ISLAM..yg lagi 'best'...'ISLAM IS THE WAY OF LIFE'...betul lah tu tapi ada seorang kawan ni yg di'suggestkan' oleh kawan saya yg kini belajar di luar negara, dia 'state'kan 'religious view' dia sebagai 'LIBERAL ISLAM...I repeat LIBERAL ISLAM'



Ape tu 'LIBERAL ISLAM'?

Untuk lebih tahu dengan terpeinci dan tepat ape tu sebenarnya 'LIBERAL ISLAM' atau Islam Liberal ni...jadi hadam dan baca dengan hati artikel ni...

Cabaran Akidah : Pemikiran Islam Liberal

Islam Liberal menyerang ajaran Islam dari sudut akidah dengan penyebaran fahaman pluralisme, dari sudut syariah dengan perubahan metodologi ijtihad dan dari sudut wahyu dengan melakukan kritikan terhadap Al-Quran itu sendiri.

Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula syariat dan hukum-hukum fikah. Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuk hal yang telah menjadi ijmak ulama, termasuk tafsiran daripada Rasulullah dan sahabat serta ulama mujtahid. Bagi mereka agama hendaklah disesuaikan kepada realiti semasa , sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas- nas Syarak secara putus (qat’ie). Jika terdapat hukum yang tidak menepati zaman, kemodenan, hak-hak manusia, dan tamadun global, maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.

Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, cara berfikir barat tersebut terdiri daripada lima sifat yang saling kait-mengait :

1. Kebergantungan semata-mata kepada akal manusia bagi memandu kehidupan dunia.

2. Dualisme dalam memahami pelbagai realiti dan kebenaran. Contohnya dualisme antara akal dan jasad, dan pemisahan antara kaedah rasionalisme dan empirisisme.

3. Penekanan kepada unsur-unsur perubahan dalam kewujudan yang mempamerkan pandangan alam (worldview) yang sekular
.
4. Doktrin humanisme iaitu jelmaan ideologi sekuralisme yang memusatkan penilaian segala-galanya kepada fikiran manusia.

5. Konsep tragedi yang menyusup dalam setiap arena kehidupan baik falsafah, agama, atau kesenian.

Konsep ini mencerminkan jiwa yang tidak beriman kerana kecewa dengan agama.

Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia merupakan persatuan pemikiran liberal yang bergiat aktif


Oleh sebab itu menurut Syekh Abdullah al-Khatib dalam kitabnya “al Islam wa raddu ala hurriyatil fikri” menyatakan bahawa golongan yang berfikiran bebas mempunyai agenda tersembunyi iaitu :

1. Untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya daripada masyarakat iaitu memisahkan agama daripada pendidikan, menjauhkan syariat Islam daripada kedudukannya sebagai sumber perundangan dan mengasaskan ekonomi di atas dasar riba.

2. Untuk menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia daripada setiap yang mempunyai kaitan dengan ruh, wahyu dan alam ghaib dan daripada segala ikatan dengan akhlak,
akidah dan keimanan kepada Allah.

3. Untuk memartabatkan ketuanan akal, kebendaan, dan ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu (ilhad) dalam setiap urusan kehidupan dan menjadikan Islam hanya sebagai agama rohani semata-mata dan menolak agama sebagai penentu dan pencorak perjalanan hidup bermasyarakat.

Di Malaysia, gerakan liberal tidak mempunyai kumpulan khas yang menggunakan nama Islam Liberal, tetapi dilakukan oleh individu- individu yang memperjuangkan demokrasi , fahaman persamaan semua agama, fahaman persamaan hak antara wanita dan lelaki (feminisme).

Kesamaan hak antara lelaki dan perempuan sehingga melanggari hukum yang ditetapkan oleh Allah


Usaha ini dilakukan melalui tulisan-tulisan dalam akhbar, atau menerbitkan buku-buku yang menyokong fahaman Islam Liberal. Sister In Islam adalah kumpulan yang menyarankan persamaan hak antara wanita dan lelaki, di samping mempromosikan demokrasi, dan kebebasan.


Liberalisasi Akidah

Liberalisasi akidah dilakukan dengan menyebarkan faham Pluralisme agama, iaitu fahaman yang meyakini bahawa semua agama adalah sama-sama benar, dan merupakan jalan untuk menuju kepada Tuhan yang sama.

(rujukan dari artikel dari web http://www.muftiwp.gov.my/pmwp/galeri/ISI_DALAM_LIBERAL.pdf)


Berikut pula keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan Islam Liberal:

Mesyuarat sebulat suara bersetuju menerima keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-74 bahawa :

Keputusan :

1. Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:

Aspek Akidah
a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme
Konsep Pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respons yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

b. Akal Manusia Adalah Wahyu
Aliran ini membahagikan wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

c. Meragui Ketulenan Al-Quran
Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri daripada orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah mesej budaya Arab.

Aspek Syariah
a. Mempersoalkan Metodologi Pentafsiran al-Quran dan al-Hadis
Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang diguna pakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat
Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstruksi bagi
membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.

c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian
Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah SAW dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapa pun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Israk dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam
Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-Tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang
telah secara Ijmak diterima sebagai metode dalam disiplin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai ciptaan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qatíe menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran
semula ajaran Islam.

e. Sikap Terhadap Hukum
Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum Fiqah iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.



Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Mesyuarat bersetuju menerima keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-74
bahawa: “Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.” Mesyuarat juga bersetuju agar keputusan ini tidak perlu diwartakan.

“Aliran pemikiran Islam Liberal dan fahaman pluralisme agama (menyamakan semua agama/mengakui kebenaran semua agama) sebagai penyimpangan serius dan berbahaya. Ia adalah sebahagian daripada agenda al-ghazw al-fikriyy (serangan pemikiran) yang didalangi oleh kaum orientalis dan dilatari oleh pengaruh faham asing seperti sekularisme, modenisme dan pascamodenisme. Pemikiran liberal dan plural dalam konteks tersebut jelas menggugat pokok-pokok ajaran Islam serta mencemarkan kemurnian dan ketulenannya"

(http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=1487)

Sedar atau tak, mahu atau tak, bagi saya Islam itu hanya Islam, mana ade istilah Islam Liberal, Islam Hadhari ke..Islam tetap Islam, bukankan dalam Islam ada sifat alamiyah iaitu kekal dan sesuai sepanjang masa dan tidak mengira bangsa malah apa yang disampaikan oleh Rasulullah 1400 tahun dahulu akan tetap sesuai hingga kiamat. Islam juga ada syumuliah iaitu lengkap dan tiada satu pun Islam yang dibawa oleh Rasulullah ini boleh dipertikaikan. Tapi kenapa manusia mahu mengikut sifat durjana syaitan dan Iblis yang suka mencabar, mempertikai sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah sepertimana syaitan dan iblis yang enggan sujud dan patuh kepada perintah Allah.

Ini sebenarnya jarum-jarum halus yang ditusuk oleh musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam secara halus. Maka kenapalah kita yang dilahirkan sebagai Islam ini begitu mudah terpengaruh dan terpedaya dengan pemikiran-pemikaran yang menyesatkan ini. Lebih teruk lagi menzahirkan kepada umum tentang kepincangan dan penyelewangan yang dilakukan. Bukan ke sama seperti mengajak orang untuk turut sesat. MasyaAllah semoga Allah melindungi kita semua. Jika alasan 'saje-saje' atau 'just for fun', bagi saya tak boleh diterima sama sekali! Boleh ke kita buat main-main dengan perkara agama ni...???!!! Ia berkaitan dengan aqidah dan silap-silap boleh menyebabkan kita murtad!!!

Saya doakan agar kawan saya ni kembali ke jalan yang benar, mungkin dia belum memahami sepenuhnya lagi tentang Islam Liberal dan terlalu ikut-ikutkan peredaran masa.

Islam is Islam and Only Islam is The True Religious


Firman Allah : Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi
 
(Ali Imran: 85)

Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam
(Ali Imran : 19)

Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka
bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan
Allah. Mereka tidak lain hanyalah menurut sangkaan belaka,
dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).
(al-An’am : 116).


Saya hanya meyakini Islam yang diturunkan oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah adalah satu-satunya agama yang BENAR dan agama-agama lain TIDAK BENAR sama sekali SELAMA-LAMANYA....inilah sepatutnya aqidah atau keimanan kita sebenarnya...semoga kita semua diredhai oleh Allah...amin

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Komentar