Jun 27, 2009

Kehidupan ini satu tarbiah


Bismillahirahmanirahim, segala puji kepada Allah S.W.T, Tuhan Sekalian Alam, Tuhan Yang mengusai pemerintahan langit dan bumi, dan tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sekutu dalam pemerintahanNya; dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempuran (Furqan:2)…Tuhan yang satu-satunya tempat diri ini mengadu….siapalah aku tanpaMu Ya Allah….

Biasalah, hidup dalam dunia ini, memang tidak boleh lari daripada masalah…
Selama 21 tahun aku hidup dalam dunia ini, aku sangkakan akulah manusia yang memikul masalah paling besar sekali…tetapi setelah aku memaksa diri ini mengenali insan yang ku gelar sahabat iaitu insan yang lebih rapat lagi berbanding dengan kawan, aku rasa bertuah dan sangat gembira kerana ada jua insan yang boleh bersama-sama aku, mengangkatku tika ku jatuh tersembam, mendengar keluhan perasaan bercerita tentang dugaan Ilahi dan sentiasa boleh menghulurkan tangan tika kuperlu. Namun aku harus sedar kerana bukan aku sahaja yang dibelenggu masalah bahkan orang lain lebih besar kapasiti masalah yang mereka hadapi.
Aku sering membawa ‘title’ ini dalam hidupku, “Aku Akan Cuba Sedaya Upaya Takkan Susahkan Orang di Sekelilingku” kerana sepanjang hidupku, aku sudah banyak menyusahkan orang-orang yang hampir denganku. Biaralah aku susah asalkan teman-temanku tidak susah keranaku.

Untuk apa aku tangisi,

Dibesarkan bukan oleh ibu bapa kandung, sedangkan ada temanku yang sudah kehilangan kedua ibu bapanya, aku bersyukur walaupun ditinggalkan oleh ibu bapa sejak kecil lagi, aku masih ada ibu dan bapa hingga sekarang

Untuk apa dikeluhkan,

Hidup susah, tak kaya, tak ramai kawan, sedangkan ada temanku yang hendak makan nasi sekali sehari pun susah, tetapi aku susah macamanapun, masih boleh menjamah makanan sedap-sedap dan cukup makan, cukup wang belanja..

Aku Insan Yang Tidak Sempurna

Kesilapan, memang perkara biasa yang ada dalam hidup manusia. Ia membuatkan aku sentiasa muhasabah diri kot-kot ada salah silap yang aku tak sedari lakukan kerana sestengah orang jenisnya tidak kisah, tetapi ramai juga orang yang begitu sensitif. Orang yang sensitif bagi aku sebenarnya memliliki hati yang penyayang. Dia sayangkan seseorang itu, sebab itu dia cukup terasa apabila orang yang disayangi itu melakukan sesuatu yang menoreh hatinya.

Tetapi bagiku, dalam persahabatan sebenar perlu ada satu prinsip lagi agar ia terus kekal dan diredhai Allah, iaitu jangan kita cepat terasa hati kerana perkara-perkara yang dianggap kebanyakan orang sebagai perkara kecil . Kerana awas, mahukah kita hancurkan sebuah persahabatan yang terbina bertahun-tahun dek kerana perkara-perkara kecil. Selain itu, kita perlu sedar akan matlamat sebanar kita hidup di dunia ini. Tak lain tak bukan adalah untuk bekerja bersungguh-sungguh dengan kerja-kerja yang disuruh oleh Allah dan kerja-kerja yang tidak bertentangan dengan hukum Allah agar hasilnya dapat kita tuai di akhirat kelak. Tugasku adalah belajar dan ‘menyampaikan’ sesuatu yang betul selain mencuba sedaya mungkin mencegah kerosakan atau kebinasaan. Jangan kerana perkara-perkara kecil seperti ini menyebabkan matlamat dan tugas asal kita terbantut. “Yang dikejar tak dapat, Yang dikendong keciciran”

Biarlah rahsia

Menyedari hidup ini perlu diteruskan dan akhirat yang pasti datang, aku bangkit sedaya upaya daripada belenggu perasaan yang mencengkam…hingga kadang kala aku tewas oleh nafsu durjana dan memikirkan perkara-perkara yang diluar batasan pemikiran manusia normal, namun tak siapa yang tahu.

Aku menelan pahit untuk merasa secubit manis, menongkah arus, mencuba perkara yang bukan aku biasa buat demi sebuah kebahgiaan hidup di dunia dan di akhirat kelak, berkorban walau perit yang dirasakan, namun tak siapa yang tahu

Bukan ingin semua tahu apa yang terbuku di hati, bukan aku ingin dibalas segala pengorbanan itu tetapi cukuplah dengan kata-kata indah dan persahabatan sejati melaungkan dalam hati ‘aku bersahabat denganmu kerana Allah’, menzahirkan dengan perlakuan dengan menjaga sepenuh hati persahabatan ini, mamadai pemuas hati ini untuk terus berjalan dan berlari dalam dunia yang fana ini.

Seorang sahabat sejati tidak akan mencari salah sahabatnya dan membuatkannya rasa bersalah di atas perbuatannya dan lebih teruk lagi menghukum hingga seolah-olah dia sahaja yang betul sebaliknya mencuba membetulkan kesalahan sahabatnya itu, kerana lumrah manusia seorang yang pelupa, lalai, dalam kehidupan.

Ampun dan Maaf, Mungkin Allah Lebih Mengetahui




Sesuatu yang terjadi dalam hidup manusia telah pun digariskan dalam Lauh Manfuz. Allah telah mengatur hidup manusia tetapi tidak bermakna kita tidak berbuat apa-apa tentangnya. Tetapi itulah iman. Aku sedar hal ini, dan bagiku kesalahan yang aku lakukan kepada sesiapa sahaja samada secara sedar bahkan lagi secara tidak sedar, aku mohon seinfiniti kemaafan dan Ya Allah ampunkanlah hambaMu ini yang kadangkala leka dan lalai dalam menjalankan tugas sebagai manusia di muka bumi ini…Betapa hinanya diri ini memohon keampuanan kepadaMu setelah melakukan dosa, kerana jika bukan Engkau kepada siapa lagi Aku mahu memohon ampun….
Mungkin sesuatu yang terjadi ini adalah terbaik untuk aku…jika sahabat-sahabatku enggan memaafkan aku, itu bukan urusanku lagi, itu urusan anda dengan Allah, mungkin juga Allah inginkan begitu agar hanya insan-insan yang baik menyantuni anda dan insan itu mungkin bukan aku…

Tetapi jangan bunuh persahabatan ini kerana perkara-perkara kecil dan berbekalkan 'sayang' sebagai alasan, apa yang anda dapat dengan tidak cuba menyelesaikan dengan cara baik tetapi menghukum, merejam hati ini dengan rasa bersalah. Tahniah bagi diri ini, anda sudah berjaya jika anda ingin buat aku rasa bersalah kerana sepanjang hidupku, aku sentiasa menyusahkan orang, maka tidak layak bagi diri ini untuk menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku jika bukan menyalahkan diri sendiri…

Tetapi jika ini yang terbaik bagi anda, semoga kenangan tercipta menjadi kenangan yang terindah dalam usaha merasai kemanisan ukhwah….aku tidak dapat berbuat apa-apa…

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa mendampingi rapat orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Qur’an, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkahlakunya pula adalah melampaui kebenaran.”
(Al-Kahfi 732)

“Kita Merancang, Allah Juga Merancang, Tetapi Perancangan Allah adalah Yang Terbaik”

Membuatku Terus Kuat Melangkah
Sesungguhnya apa yang berlaku ada hikmah tersembunyi, aku semakin gah untuk terus melangkah menuju matlamat yang hakiki…dengan kesedaran ini, InsyaAllah atur langkahku akan menjadi lebih tersusun disamping membuatkan aku lebih berwaspada. Manusia perlu belajar dari pengalaman kerana sebagai seorang muslim (pendokong agama Allah), pengalaman adalah antara sahabat yang terbaik .

“Semoga Akademi Dunia tidak melekakanku dalam mengutip pahala sebanyak mungkin dan aku tidak tersingkir di pertengahan jalan sebaliknya terus gah melangkah menuju Puncak (Akhirat) yang bukan sekadar fantasi"

No comments:

Related Posts with Thumbnails

Komentar